Friday 7 October 2011

Referens

Chater W. J. 1994. Sarawak Zaman Dahulu. Kuala Limpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

C. O. 874/1/37. Medical Report on British North Borneo 1912 by Sir Allan Perry. Arkib Negeri Sabah. Kota Kinabalu.

D. S. Ranjit Singh. 2000. The Making of Sabah 1865 – 1941. Kuala Lumpur: University of      Malaya Press.

Evelyne Hong. 1987. Natives of Sarawak (Survival in Borneo’s Vanishing Forest). Pulau Pinang:        Sun Printers Sdn. Bhd.

Fong Hon Kah. 1996. Sejarah Perkembangan Lembangan Rajang di Sarawak. Sarawak:         Jawatankuasa Warisan Kebudayaan Dewan Suarah.

Freeman D. 1970. Report on the Iban. London: Athline Press.

Mohd Isa Othman. Sejarah Malaysia (1800 – 1963).

Mohd Nor bin Long. 1978. Perkembangan Pelajaran di Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nota Kuliah Pn. Sabihah Osman.  Sejarah Sabah dan Sarawak. Universiti Malaysia Sabah.

Saidatul Nornis Hj. Mahali, Mohd Salim dan etc…. 1987. Pluraliti Etnik dan Budaya Sabah. Kuala        Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Aidah Hj. Lokin. 2007. Perubahan Sosioekonomi dan Pentadbiran Masyarakat Peribumi    Sabah (1881 – 1963). Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.

Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Peribumi Sabah). 2004. Kuala Lumpur: Universiti  Malaya.

Tregonning K.G. 1965. A History of Modern Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Whelan F.G. 1970. A History of Sabah. London: Macmillan.

Yap Beng Liang. 1990. Perubahan Sosial dalam Masyarakat Bajau Kota Belud Sabah. Kuala   Lumpur: Universiti Malaya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, keadaan masyarakat di Sabah dan Sarawak dalam abad ke-19 sebenarnya masih bersifat tradisional. Walaupun mempunyai sistem politik, ekonomi dan sosial pada ketika itu, tetapi masih lagi bersifat setempat. Keadaan politik, sosial dan ekonomi mereka dipengaruhi oleh di mana kawasan petempatan mereka dan kemahiran mereka pada sesuatu perkara. Sekiranya masyarakat yang berlatarkan geografi di kawasan pesisir pantai, maka keadaan ekonomi mereka lebih tertumpu kepada penangkapan hasil-hasil laut seperti ikan, udang dan siput. Sebaliknya pula jika masyarakat berlatarkan geografi daratan atau hutan, maka keadaan ekonomi mereka lebih tertumpu pada memungut hasil-hasil hutan dan memburu binatang hutan seperti babi hutan, rusa, kancil dan burung.
          Namun, keadaan masyarakat ini telah berubah dengan kedatangan orang Barat ke negeri Sabah dan Sarawak. Politik yang bersifat setempat bertukar menjadi bersifat pengkhususan pada beberapa badan atau jabatan pentadbiran negeri. Ekonomi yang bersifat tradisional atau sara diri bertukar pada ekonomi yang bersifat moden atau perdagangan bebas. Dasar-dasar pemerintah Barat telah menyebabkan perubahan yang sangat besar dalam ekonomi masyarakat Sabah dan Sarawak berlaku. Di samping itu, keadaan sosial masyarakat seperti kepercayaan, agama, pendidikan, perhubungan dan kesihatan juga berlaku perubahan yang berleluasa. Walaupun keadaan masyarakat ini berubah menjadi lebih baik selepas kedatangan Barat di Sabah dan Sarawak, namun haruslah diingat bahawa kehadiran mereka ini telah menyebabkan pengeksploitasian keseluruhan terhadap sumber-sumber kedua-dua buah negeri tersebut. Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa kita haruslah mengambil pengajaran daripada keadaan tersebut bahawa kita tidak sepatutnya memberi kebebasan kepada orang luar untuk mengeksploitasi sesuka hati sumber-sumber yang kita ada pada ketika ini.

Sosial Masyarakat

·         Sebelum Kedatangan Barat
          Pada abad ke19, meskipun masyarakat Sabah dan mula beranjak secara perlahan-lahan ke arah paradigma ekonomi, politik yang dari abad sebelumnya, namun sistem sosial negeri tersebut masih lagi dilihat begitu tradisional apatah lagi lokasi geografi yang jauh dari Tanah Melayu. Walaupun telah kelihatan bayang-bayang pihak Barat yang mula mencari ruang di celah-celah tanah Sabah atas dasar perluasan kuasa, pasaran barang, dan sumber ekonomi yang cukup berharga di negeri ini. Namun, kehidupan sosial masyarakat ini masih kekal diseragamkan dengan kepercayaan dan budaya mereka yang telah diwarisi dari nenek moyang mereka lagi.
          Di Sabah, terdiri daripada 39 buah kelompok etnik semuanya, yang dikategorikan sebagai peribumi. [1]Terdapat beberapa buah kaum yang menjadi majoriti iaitu kaum Dusun, Kadazan, Iranun dan lain-lain lagi. Kaum-kaum ini berada di daerah yang berbeza  dan selalunya berkelompok mengikut suku kaum mereka. Misalnya orang Dusun kebanyakannya berada di Ranau, Keningau, Kundasang dan Kota Belud. Terdapat juga banyak sub-kaum lain yang menjadi minoriti seperti kaum Sungai yang kebanyakannya berada di sekitar  Sungai Kinabatangan, Telupid, Iranun dan tembenuo di Beluran, Kaum Tidung di Tawau dan sebagainya. Rumpun dan suku bangsa di Sabah sememangnya amat banyak antaranya ialah Tatana, Rungus, Cocos, Baukan dan sebagainya.
          Pada ketika itu, setiap masyarakat peribumi di negeri tersebut mempunyai organisasi sosial yang tersendiri. Pembentukan organisasi sosial masyarakat ini banyak dipengaruhi oleh keadaan persekitaran , interaksi dengan dunia luar dan peredaran masa. Cara hidup dan budaya masyarakat Sabah begitu kompleks dan ditunjangi oleh kepercayaan mereka terhadap alam sekitar. Pada ketika itu, masyarakat Sabah sebahagian besarnya masih lagi mengamalkan kepercayaan animisme. Mereka percaya kepada benda-benda hidup di sekeliling yang kelihatan unik dan asing bagi mereka seperti pokok-pokok besar, batu, gua, tangkal, sungai dan sebagainya. Mereka percaya bahawa objek-objek itu mempunyai semangat, roh spiritual yang mana boleh membawa  nasib malang juga nasib baik. Misalnya masyarakat Sabah akan mengadakan perayaan upacara memuja semangat padi. Pada ketika itu, sebenarnya telah ada sebahagian masyarakat Sabah yang menganut agama lain.
          Bahasa pertuturan di Sabah pada ketika itu ialah bahasa kaum mereka seperti bahasa Sungai, bahasa Kadazan, Dusun dan sebagainya mengikut bangsa mereka. Walaupun begitu, mereka tetap menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan juga kerana pada ketika itu telah ada sekolah-sekolah di sebahagian kawasan. Namun bagi masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman mereka sememangnya menggunakan bahasa ibunda mereka. Masyarakat Sabah kebanyakanya tidak mempunyai pedidikan yang tinggi kerana anak-anak mereka diajar untuk bertani. Misalnya, anak-anak di ajar bekerja di bendang, ladang, bercucuk tanam, menjala dan sebagainya. Anak perempuan pula selalunya membantu melakukan kerja rumah. Malah pada ketika itu anak perempuan di kahwinkan pada usia yang masih muda.
          Di Sarawak pula, penduduk peribumi adalah terdiri daripada empat kumpulan etnik utama , iaitu Bidayuh, Iban, Melayu dan Melanau. Tedapat juga sub-etnik seperti Kenyah, Ukit, Penan, Lahanan dan sebagainya. Selain itu, keadaan di Sarawak adalah lebih kurang sama dengan di Sabah. Namun begitu, ianya berbeza dari segi terminologi unsur-unsur keagamaan dan tafsiran konsep. Masyarakatnya juga masih mengamalkan kepercayaan animisme, percaya kepada tangkal, hukum alam semulajadi yang banyak mempengaruhi kepercayaan dan amalan mereka. Masyarakat Sarawak sebahagian besarnya memuja semangat-semangat objek, alam sekeliling dan sebagainya.  Misalnya terdapat amalan “potong kepala” di Sarawak . Selain itu, [2]orang Iban misalnya mempercayai akan kewujudan berbagai semangat (antu) dan tuhan-tuhan (petara). Namun begitu amalan agama dan kepercayaan ini menjadi unsur dalam menyatukan masyarakat.
           Masyarakat Sarawak secara keseluruhannya bertutur bahasa ibunda mereka. Namun demikian, bahasa yang sering mereka gunakan dalam pertuturan harian adalah bahasa Iban. Dari segi pendidikan, masyarakat di Sarawak tidak mempunyai sistem pendidikan yang formal. Mereka lebih mementingkan pendidikan yang bersifat tradisional. Anak-anak mereka kebanyakannya diajar untuk bercucuk tanam, menangkap ikan, dan sebagainya. Antara yang ditanam adalah tebu, lada dan sagu. Tujuannya adalah untuk kegunaan seisi keluarga sahaja. Jika terdapat lebihan daripada hasil tanaman mereka, mereka akan menjualnya secara kecil-kecilan.
·         Selepas Kedatangan Barat
          Kerajaan SBUB telah memulakan usaha untuk memajukan bidang prasarana komunikasi di sabah. Hal ini adalah untuk meningkatkan kualiti penduduk di Sabah di samping untuk kepentingan mereka sendiri. Jalan kereta api dari Jesselton ke Beaufort, dari Beaufort ke Tenom dan dari Tenom ke Melalap telah mula dibina sejak tahun 1896. Selain daripada bertujuan untuk menyediakan pengangkutan kepada penduduk dan pengangkutan hasil-hasil pertanian, jalan-jalan kereta api ini juga telah memudahkan perhubungan dari kota Kinabalu ke kawasan pendalaman. Pembinaan jalan raya juga telah dilaksanakan pada tahun 1897. Selain itu juga, perkhidmatan pos dan telegraf juga telah diadakan untuk memudahkan perhubungan di setiap daerah. Antara pejabat pos yang telah dibina oleh SBUB adalah seperti di Jesselton, tenom dan sebagainya. Kesemua bentuk kemudahan yang telah dibina ini telah membawa pelbagai faedah kepada penduduk pribumi. Hal ini kerana penduduk pribumi dapat melicinkan dan memudahkan urusan serta perhubungan mereka dari sebuah daerah ke daerah yang lain.
          Kerajaan SBUB turut memulakan sistem persekolahan secara formal di Sabah selaras dengan peruntukan pendidikan bagi penduduk peribumi Sabah yang terkandung dalam piagam syarikat berkenaan. SBUB sebenarnya ingin mencapai dua objektif iaitu bagi meningkatkan tahap pengetahuan di kalangan pelajar tentang kemahiran asas membaca,meulis dan mengira, disamping untuk memberikan latihan teknikal kepada pelajar bagi menghadapi alam pekerjaan kelak. [3]Objektif kedua pula adalah untuk menyediakan pelajaran kepada anak-anak ketua kampung bagi mendedahkan mereka kepada asas pentadbiran kelak. Sistem persekolahan agama islam telah telah lama ditubuhkan oleh orang-orang islam melalui pelajaran membaca al-Quran. Oleh itu Gabenor Treacher telah menubuhkan sekolah agama islam di Sandakan. Namun begitu, usaha Treacher ini tidak Berjaya dan sekolah tersebut gagal menarik perhatian penduduk tempatan kerana mereka curiga dengan niat gabenor yang beragama kristian. William Pryer pula telah meninjau pendapat Cina dan Islam di Sandakan dalam tahun 1886. Oleh itu sebuah bilik di pejabat gabenor telah dijadikan sekolah. [4]Pada tahun 1886, sebuah sekolah telah ditubuhkan dengan bilangan pelajar seramai sembilan orang tetapi terpaksa ditutup kerana sambutan yang begitu dingin daripada masyarakat berkenaan. Oleh itu usaha awal untuk mengadakan sistem persekolahan secara formal menemui jalan kegagalan sehinggalah kedatangan para mubaligh kristian. Pada tahun 1887, father Bryon daripada mazhab Roman Khatolik telah membuka sekolah di Sandakan yang dikenali sebagai St.Mary.  usaha beliau diikuti pada tahun berikutnya oleh father Elton daripada mazhab Anglikan yang membuka Sekolah St.Micheal di daerah Sandakan. Sistem persekolahan ini telah memberi peluang kepada anak-anak peribumi bagi mendapatkan pendidikan secara formal dan mengatasi maslah buta huruf. Meskipun begitu, hanya penduduk peribumi yang tinggal di Bandar berpeluang mendapat pendidikan disekolah rendah kerajaan manakala bagi anak-anak peribumi yang tinggal di pedalaman, mereka masih jauh ketinggalan dalam pelajaran.
          Dalam bidang kesihatan, sebelum tahun 1881 tidak terdapat satu sistem pengurusan kesihatan yang teratur dan bercorak moden di Sabah. [5]Penyakit-penyakit seperti malaria,beri-beri,puru, radang paru-paru dan sebagainya merupakan penyakit yang biasa dihadapi oleh masyarakat peribumi Sabah dan mudah merebak di kalangan mereka sehinggalah membawa kepada kematian. Bagi mengelak penyakit itu merebak maka SBUB telah mengadakan kemudahan kesihatan. Hospital didirikan di bandar-bandar seperti Sandakan, Jesselton dan sebagainya. Namun, perkhidmatan hospital yang didirikan kurang berkesan kerana kedudukannya di kawasan bandar menyebabkan kemudahan ini tidak dapat dinikmati oleh   penduduk luar bandar. Tambahan pula, kebanyakan penduduk khususnya di kawasan pedalaman tidak menyakini sistem perubatan moden kerana masih berpegang teguh kepada keperecayaan tehadap para dukun dan bomoh. Kerajaan SBUB mengadakan dipensari dikawasan luar bandar untuk mendedahkan sistem perubatan moden kepada masyarakat berkenaan. Usaha SBUB meningkatkan taraf kesihatan di Sabah juga telah membuka ruang kepada penduduk Sabah, khususnya masyarakat peribumi untuk mengetahui asas-asas penjagaan kebersihan dan langkah-langkah bagi mengelakkan penyakit berjangkit seperti malaria, taun dan sebagainya.


[1]Tamadun Islam Dan Tamadun Asia(peribumi Sabah), Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2004, hlmn. 212.

[2]Freeman D., Report on the Iban, London: Athline Press, 1970, hlmn. 83.
[3]Fail 66, Educational Policy of the State General, Kota Kinabalu, Arkib Negeri Sabah, hlmn. 2.
[4]Mohd Nor bin Long, Perkembangan Pelajaran di Sabah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, hlmn. 7.
[5] C.O 874/1/37, Medical Report on British North Borneo 1912, by Sir Allan Perry, Arkib Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Ekonomi Masyarakat

·         Sebelum Kedatangan Barat
          [1]Ada kajian yang mengatakan etnik Murut dan Kadazandusun adalah suku kaum yang terbesar di Sabah.  Etnik ini menjalankan kegiatan pertanian terutamanya penanaman padi sebagai sumber utama ekonomi mereka. Lazimnya, etnik Murut menanam padi huma atau bukit kerana sebahagian besar etnik ini mendiami kawasan berbukit ataupun di lereng-lereng bukit. Manakala etnik Kadazandusun lebih kepada penanaman padi sawah. Hal ini kerana, etnik ini menetap di kawasan yang sesuai untuk menjalankan aktiviti penanaman padi sawah contohnya, Ranau, Tambunan, Papar dan tempat-tempat lain di Sabah. Namun, terdapat juga sebahagian kecil yang mengusahakan padi bukit terutamanya mereka yeng mendiami lereng Banjaran Crocker. [2]Di samping itu etnik ini juga menanam pelbagai jenis tanaman lain seperti jagung, ubi manis dan pisang. Kepelbagaian jenis tanaman ini berlaku kerana adakalanya hasil daripada penanaman padi tidak menjadi kerana serangan serangga dan cuaca yang tidak menentu. [3]Selain daripada itu, etnik ini juga melakukan aktiviti memburu binatang untuk dijadikan bahan makanan serta mencari hasil hutan. Masyarakat Bajau pula lebih tertumpu di kawasan pesisir pantai. Oleh itu, etnik ini lebih kepada kegiatan yang melibatkan air. [4]Oleh itu telah menjadi kelaziman atau kebiasaan mereka untuk menangkap ikan dan menjadi nelayan serta mencari mutiara di laut dan telur penyu. Malah untuk lebih memudahkan terdapat di kalangan mereka yang membina rumah di atas air sahaja.
          Bagi etnik-etnik yang lain seperti Melayu-Brunei sebahagian daripada mereka ada yang menjalankan aktiviti perdagangan walaupun tidak dinafikan ada yang terlibat dengan aktiviti pertanian. [5]Begitu juga dengan etnik Bisaya, walaupun bilangan etnik ini jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan etnik yang lain akan tetapi sumbangannya dalam mewarnai adat dan kebudayaan Sabah tidak dapat dinafikan. Kegiatan ekonomi suku ini lebih kurang sama sahaja dengan etnik yang lain. [6]Orang Sungai merupakan sub-etnik bagi Kadazandusun akan tetapi mereka ini mendiami beberapa kawasan seperti Sugut,Paitan dan Kinabatangan. Segelintir daripada mereka ini telah memeluk agama islam pada abad ke-18 dan ke-19. Sub-etnik ini juga menjalankan aktiviti pertanian dan pada abad ke-19 dan mereka mula berurusan dengan kerajaan sulu.
          Kegiatan ekonomi masyarakat Sarawak lebih kurang sama dengan masyarakat Sabah. Mereka menjalankan kegiatan ekonomi yang hanya cukup untuk menyara keluarga itu sahaja. [7]Contohnya kaum Melanau, pekerjaan utama mereka adalah menanam pokok rumbia di samping menangkap ikan. Aktiviti tersebut menjadikan mereka seorang pelaut,nelayan dan tukang pembuat perahu yang mahir. Bagi kaum wanita pula, mereka turut mahir dalam menghasilkan barangan seperti bakul dan terendak yang halus buatannya. [8]Etnik Melayu pula lebih kepada menjalankan kegiatan pertanian iaitu dengan menanam padi dan juga menjadi nelayan. Tambahan pula,etnik ini mendiami kawasan pesisir pantai malah ada diantara mereka yang menjadi penoreh getah dan berniaga. Mereka turut mempunyai bakat yang lain dalam menggunakan alat-alat tenunan terutamanya kaum wanita. Seperti etnik yang lain, etnik Iban juga suka mengembara. Tujuannya adalah untuk mencari kawasan pertanian yang sesuai untuk bercucuk tanam terutamanya untuk penanaman padi. [9]Hal ini kerana, padi adalah sumber makanan utama masyarakat Iban. Disamping itu, etnik Iban juga menjalankan kegiatan sampingan seperti memburu, menangkap ikan, memungut hasil hutan dan sebagainya. Kaum seterusnya yang mendiami Bumi Sarawak adalah Penan. Kaum ini bergantung sepenuhnya kepada hutan untuk meneruskan hidup. Mereka memburu binatang dengan berbekalkan sumpit sebagai senjata dan damak untuk menangkap burung. Mereka  turut mencari sayur-sayuran hutan untuk dijadikan bahan makanan. Oleh itu, mereka sentiasa berhijrah untuk mencari sumber-sumber tersebut.
·         Selepas Kedatangan Barat
          Semasa Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU) mula mentadbir Sabah, keadaan ekonomi negeri ini berada pada tahap yang masih mundur sama seperti keadaan politik dan pentadbirannya yang turut mundur. Akibatnya, hasil komoditinya amat sedikit yang dapat dihasilkan untuk tujuan eksport. Tambahan pula, majoriti penduduk khasnya kaum peribumi Sabah pada masa itu hanya mengamalkan kegiatan ekonomi pertanian sara diri, iaitu sebagai petani dan nelayan. Sememangnya penduduk kaum peribumi Sabah sebelum SBBU mula mentadbir, mereka menjalankan kegiatan pertanian mencari hasil hutan dan hasil laut. Kegiatan mereka ini hanya sekadar untuk menampung sumber makanan harian mereka bukan untuk tujuan perdagangan. Pada peringkat awal penguasaan SBBU di Sabah, para pentadbirnya berusaha untuk memajukan sektor perdagangan yang pada awalnya dijalankan secara tradisional berasaskan perdagangan hasil-hasil hutan yang telah diamalkan oleh penduduk negeri ini sebelum kedatangan SBBU. [10]Residen Sandakan iaitu William Pryer misalnya, telah menggalakkan penduduk tempatan di Sandakan untuk membawa dan mencari hasil-hasil hutan seperti sarang burung, rotan, damar, getah perca, kapur barus dan sebagainya untuk dijual kepada peraih-peraih Cina yang akan membawa barangan tersebut ke Singapura dan seterusnya akan dipasarkan sebagai eksport kepasaran dunia. Kegiatan ini menyebabkan hasil-hasil hutan menjadi salah satu sumber pendapatan utama pada zaman awal pemerintahan SBBU di Sabah. [11]Pada tahun 1885, eksport rotan, getah perca dan sarang burung sahaja yang berjumlah $129,800.00, menduduki tempat ketiga dalam keseluruhan eksport yang berjumlah $401,600.00.
          [12]Pengeksploitasian sumber-sumber perdagangan yang berasaskan perdagangan tradisional membantu pembiayaan kos pentadbiran di Sabah sebelum sektor ekonomi moden seperti perladangan dan lain-lain lagi dapat dijalankan dan mendatangkan hasil yang diharapkan. SBBU juga memperoleh bayaran tahunan melalui kutipan cukai ke atas para  pengusaha sarang burung dan cukai eksport semua hasil hutan tersebut. Pihak pentadbir SBBU juga menyedari adanya kegiatan tamu sekali-sekala periodic market yang biasa dijalankan oleh penduduk peribumi. Pentadbir SBBU telah memanipulasi kegiatan ini untuk mengembangkan perdagangan dalam negeri. Kesannya, lebih banyak tamu wujud di Sabah khususnya di kawasan pantai timur Sabah dan di pedalaman. Di kawasan pantai barat, tamu lebih banyak diadakan di kawasan persisiran pantai. Perkara ini merupakan satu perubahan yang dibuat oleh SBBU terhadap kegiatan tamu yang sebelumnya merupakan “tamu darat”, iaitu aktiviti perdagangan yang dijalankan di kawasan tanah datar di pantai barat. Selain memajukan sektor perdagangan secara tradisional melalui eksport hasil-hasil hutan, SBBU juga berusaha untuk memajukan penanaman tembakau di Sabah. Penanaman tembakau sebenarnya sudah lama diusahakan oleh penduduk peribumi secara kecil-kecilan khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan perbukitan untuk keperluan rokok tempatan. SBBU telah memperkenalkan tanaman tembakau sebagai tanaman eksperimen kerajaan. Ia dijalankan di Silam, Lahad Datu dan tiga tahun selepas itu hasilnya yang pertama telah dihantar ke United Kingdom.[13] Penanaman tembakau seterusnya diusahakan di Sandakan pada tahun 1884 dan hasilnya telah dikirim ke Holland. Oleh kerana tembakau yang dihasilkan mempunyai kualiti yang baik, maka pada tahun 1886 perladangan tembakau diusahakan secara besar-besaran khususnya di kawasan pantai timur.
          Pada tahun 1890, terdapat sebanyak 61 buah estet milik pengusaha Eropah yang meliputi di beberapa kawasan dari Pulau Banggi hingga ke Tawau. [14]Keluasan tanah yang dibuka untuk penanaman tembakau ini meliputi kira-kira 350,000 ekar. Kebanyakan estet tersebut diurus dan diusahakan oleh peladang dari Belanda kerana mereka lebih mahir dalam perusahaan tembakau. Walaupun tembakau menjadi industri yang penting di Sabah namun begitu SBBU menghadapi pelbagai masalah dalam perusahaan ini apabila wujud persaingan dengan industri tembakau di Amerika. Selain itu, SBBU turut mengalami masalah kekurangan buruh. Selain tanaman tembakau, SBBU menggalakkan penduduk peribumi Sabah menanam tanaman seperti kopi, abaka, padi dan menternak binatang seperti kerbau, lembu, ayam dan sebagainya. Namun begitu, usaha ini tidak berjaya kerana penduduk peribumi tidak mempunyai banyak pengalaman dalam mengusahakan pertanian di kawasan tanah yang berkeluasan besar dan juga tidak mengetahui cara-cara atau kaedah untuk mengadakan sistem pengairan di sawah padi. Kebanyakan penduduk peribumi lebih tertumpu kepada aktiviti mengumpul hasil hutan.
          Oleh yang demikian, bagi mengatasi masalah dalam pertanian moden ini maka SBBU telah membawa masuk petani atau buruh-buruh dari negara China yang berpengalaman bagi tujuan memajukan kegiatan pertanian ladang di Sabah. Sir Walter Medhurst, iaitu seorang bekas konsul British di Shanghai, China telah ditugaskan untuk menguruskan skim penghijrahan pekerja bangsa Cina dari Hong Kong. Walau bagaimanapun, skim penghijrahan ini tidak berjaya kerana kebanyakan buruh berkenaan balik ke Hong Kong lantaran tidak berminat untuk bekerja di Sabah. Hanya satu skim penghijrahan yang berjaya, iaitu skim yang dilaksanakan pada tahun 1883 yang membawa masuk sekumpulan orang Hakka beragama Kristian datang ke Kudat dan menyebarkan agama Kristian di sana.[15]Di Kudat, kelompok Hakka ini menjalankan aktiviti pertanian seperti menanam jagung, padi, sayur-sayuran, buah-buahan dan kopi. Selain itu, mereka juga menjadi buruh-buruh di estet dan kem balak. Kerajaan SBBU terus berusaha menarik minat orang-orang Cina untk berhijrah ke Sabah bagi mngisi kekosongan tenaga buruh di sektor perladangan. Oleh itu, SBBU membiayai perjalanan mereka ke Sabah dan mengadakan syarat-syarat imigresen yang mudah untuk membawa mereka masuk ke negeri ini. Orang2 Cina ini kebanyakan datang dari Labuan dan singapura. Oleh kerana kaum Cina terlibat dengan sektor perladangan, pembalakan, perniagaan serta tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar, maka mereka lebih mudah terdedah kepada arus pemodenan berbanding majoriti suku kaum peribumi yg bergiat ekonomi sara diri.
          Pada tahun 1882, kerajaan mula kenalkan tanaman getah dan buat permulaan getah di tanam di Sandakan tetapi hanya sebagai percubaan untuk tujuan komersial. Namun demikian, disebabkan permintaan yang semakin meningkat utk keperluan industri pembuatan tayar kereta dan industri pembuatan barangan getah di Britain menyebabkan semakin banyak kawasan dibuka untuk penanaman getah. Selain itu, para peladang asing seperti peladang Eropah dan Cina juga diberi konsesi2 tanah yang terletak berdekatan dengan jalan kereta api untuk 1 tempoh yang panjang iaitu selama 999 thn.
Di Sarawak, ekonomi dieksploitasi oleh James Brooke. Selepas James Brooke menaiki takhta, beliau berusaha mewujudkan keamanan dan ketenteraman serta membangunkan ekonomi negeri Sarawak. Keamanan dan ketenteraman adalah prasyarat untuk memperkukuhkan kuasa politik, manakala ekonomi merupakan asas untuk pembangunan negeri. Dengan niat ini James Brooke membentuk angkatan bersenjata untuk menghapuskan lanun bagi melindungi nyawa dan harta benda rakyat. Seterusnya, beliau membuat reformasi sosial dengan membasmi amalan mengayau, hamba abdi dan buruh paksa di lombong-lombong. Beliau juga melindungi puak-puak yang kecil bilangannya daripada ditindas dan dibunuh oleh kaum lain yang lebih besar dan agresif. Beliau juga mengamalkan sistem percukaian yang adil, menyeragamkan unit timbang dan sukat serta sistem kewangan. Selain itu, beliau berusaha untuk mewujudkan hubungan perdagangan dengan negeri lain dan menggalakkan orang asing datang menetap di Sarawak bagi membangunkan sektor pertanian di negeri ini. Nampaknya James Brooke mempunyai pandangan sosio-ekonomi yang mudah, sama seperti yang terdapat dalam Buku Pembelajaran Agung iaitu sebuah daripada Empat Buku atau Si-Shu yang menyatakan, [16]‘Seorang yang bermoral tinggi akan mempunyai banyak pengikut yang akan mengusahakan tanah. Dari tanah dia akan memperolehi kekayaan untuk membangunkan negaranya.
Semasa pemerintahan Raja Charles Brooke, Sarawak mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam bidang pertanian, perdagangan, industri dan hasil-hasil hutan. Syarikat Borneo yang ditubuhkan  dalam tahun 1856 di bawah perjanjian dengan Raja James Brooke adalah satu-satunya syarikat asing yang dibenarkan untuk menjalankan perdagangan di Sarawak. Aktiviti perdagangannya termasuk eksport dan import, pengangkutan laut, perbankan, pembalakan, pengilangan tepung sagu, penanaman gambir dan tanaman-tanaman lain untuk jualan. Syarikat Borneo dimiliki dan diurus sepenuhnya oleh orang Eropah sementara aktiviti perniagaan dan perdagangan lain dijalankan oleh orang China. Dalam kegiatan tersebut, masyarakat Sarawak juga terlibat sama. Apabila Charles Brooke menjadi Raja Sarawak dalam tahun 1868, Kuching telah berubah daripada kampung nelayan dengan penduduknya dianggarkan 800 hingga 1,000 orang semasa ketibaan James Brooke kepada bandar yang penduduknya berjumlah kira-kira 20,000 orang. Keadaan ini menyumbang kepada kepesatan ekonomi negeri dan mencetuskan penubuhan industri masyarakat.
Dalam tahun 1880, Sarawak mula melalui zaman kemewahan yang berkekalan selama tiga puluh tahun berikutnya walaupun berlaku kebakaran besar di Kuching pada tahun 1884. [17]Dalam bidang pertanian, penanaman padi, tembakau, tebu dan teh kurang berjaya tetapi penanaman tanaman jualan  seperti gambir dan lada hitam sangat berhasil dan mula diperkenalkan di Sarawak oleh Encik William Maunder Crocker, yang mula tiba di Kuching pada tahun 1864, dan anaknya Encik H.B. Crocker, menjadi Ketua Setiausaha semasa Rajah ketiga dan keturunannya masih tinggal di Sarawak. Justeru itu, usaha ini menguntungkan penduduk dan menambahkan hasil untuk kerajaan. Gambir adalah sejenis pokok rendah yang lazimnya ditanam di negeri bawah angin. Daun-daunnya dipetik, ditumbuk dan direbus sehingga menjadi adunan berwarna coklat. Kemudian adunan itu ditapis sebelum dibentuk menjadi ketul-ketul kecil dan dijemur. Sisanya dijadikan sebagai baja. Gambir kering digunakan untuk menyamak kulit binatang dab fabrik, dan juga dijadikan rempah untuk makanan. Oleh sebab kegunaannya banyak dan mempunyai nilai ekonomi, pokok gambir banyak ditanam di Kuching khususnya di sepanjang Jalan Batu Kawa dan pada suatu masa dahulu terdapat sebuah kawasan di situ yang dikenali sebagai Bukit Gambir. Kepentingan gambir memang sangat jelas kerana terdapat sebuah lorong utama di Kuching yang dinamakan Lorong Gambir. Kuali atau periuk yang digunakan untuk merebus daun gambir pula dinamakan kuali gambir. Lada hitam memang telah sekian lama ditanam di Sarawak tetapi penanaman secara besar-besaran hanya dilaksanakan selepas imigran China datang ke Sarawak.
            Satu jenis tanaman lagi yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi masyarakat Sarawak adalah pokok rumbia. Apabila Lembangan Rajang menjadi sebahagian daripada negeri Sarawak dalam tahun 1861, penanaman pokok rumbia dipergiatkan di tanah pamah pesisir pantai di kawasan Batang Rajang. Pengeluaran sagu untuk eksport dipertingkatkan. Pada masa itu juga hasil hutan Sarawak terus bertambah kerana permintaannya meningkat. Selain balak, hasil lain seperti damar, jelutong, buah engkabang dan sarang burung menjadi hasil eksport Sarawak dan menjadi sumber pendapatan kepada kerajaan. Walaupun hasil keluaran galian kedua penting selepas hasil pertanian, tetapi emas dan antimoni juga adalah aset ekonomi. Minyak ditemui di Miri dalam tahun 1895. Matlamat utama Raja Charles Brooke adalah pembangunan ekonomi Sarawak berasaskan pertanian sebab Sarawak mempunyai kawasan tanah pertanian yang luas.
          Oleh itu, dasar yang telah dilakukan oleh keluarga Brooke di Sarawak telah mengubah keadaan ekonomi masyarakat di Sarawak daripada sistem ekonomi tradisional kepada sistem ekonomi moden. Dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh keluarga Brooke ini telah menyebabkan masyarakat bebas mengamalkan pelbagai jenis aktiviti ekonomi di Sarawak. Masyarakat akhirnya berpeluang menyertai aktiviti ekonomi di Sarawak.


[1]D.S. Ranjit Singh, The Making of Sabah 1865-1941, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 2000, hlmn. 46.
[2]Ibid.
[3]Saidatul Nornis Hj. Mahali, Mohd Salim dan…etc, Pluraliti Etnik dan Budaya Sabah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, hlmn. 80.
[4]Ibid.
[5]Ibid.
[6]D.S. Ranjit Singh, The Making of Sabah 1865-1941, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 2000, hlmn. 15.
[7]Fong Hon Kah, Sejarah Perkembangan Lembangan Rajang di Sarawak, Sarawak: Jawatankuasa Warisan Kebudayaan Dewan Suarah, 1996, hlmn. 103.
[8]Ibid.
[9]Ibid.
[10]Tregonning K.G., A History of Modern Sabah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965, hlmn. 81.
[11]Ibid.
[12]Siti Aidah Hj. Lokin, Perubahan Sosioekonomi dan Pentadbiran Masyarakat Peribumi Sabah (1881-1963), Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, 2007, hlmn. 74.
[13]Yap Beng Liang, Perubahan Sosial Dalam Masyarakat Bajau Kota Belud Sabah, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1990, hlmn .255.
[14]Ibid.
[15]Whelan F.G.,  A History of Sabah, London: Macmillan,  1970, hlm. 154.
[16]Ibid. hlmn. 8. 
[17]Chater W.J., Sarawak Zaman Dahulu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, hlmn. 87.

Politik Masyarakat

·         Sebelum Kedatangan Barat
          Sebelum kedatangan Barat di Sabah, sistem politik di Sabah adalah masih bersifat tradisional atau masih berada di peringkat tempatan sahaja. Ketua masyarakat adalah digelar sebagai Orang Tua yang menjadi kepala di kawasan rumah panjang. [1]Peralihan kuasa bukanlah secara turun-temurun, tetapi anak kepada seorang ketua, sekiranya dia mempunyai kualiti yang baik, boleh dipilih untuk menggantikan ayahnya. Masyarakat di Sabah pada ketika dahulu tinggal di dalam sebuah rumah panjang secara beramai-ramai. [2]Setiap komuniti adalah di bawah bidang kuasa ketua mereka sendiri. Bagi masyarakat Dusun, mereka mempunyai seorang ketua kampung yang menjadi ketua masyarakat yang berada dalam rumah panjang. Murut juga mempunyai hubungkait dengan masyarakat Dusun. Masyarakat Murut lebih maju dari segi sistem politik mereka kerana mereka mempunyai sistem perundangan yang tersendiri iaitu Mahkamah Anak Negeri yang mana masih kekal sehingga ke hari ini. Manakala, masyarakat  lain seperti Bajau, Bisaya, Tidong, Orang Sungei, Sulu, Kedayan dan Melayu juga mempunyai sistem undang-undang adat mereka tersendiri. Mereka juga mempunyai ketua kampung masing-masing. Masyarakat ini lebih terbuka minda mereka dalam membuat pelantikan ketua masyarakat berbanding Dusun dan Murut. Oleh yang demikian, keadaan politik masyarakat di Sabah sebelum kedatangan Barat adalah bersifat tradisional iaitu dengan memilih ketua masyarakat di peringkat kampung dan komuniti mereka sahaja. Rumah panjang merupakan pusat institusi politik mereka. Walaubagaimanapun, terdapat juga institusi seperti Mahkamah Anak Negeri yang telah diperkenalkan oleh masyarakat Murut.
          Di Sarawak, keadaan politik masyarakat juga hampir sama dengan keadaan di Sabah. Sebelum kedatangan James Brooke, di Sarawak sudah mempunyai sistem pemerintahan. Politik di Sarawak juga pada asalnya hanyalah di peringkat kampung sebelum sultan Brunei memerintah Sarawak. Masyarakat juga telah memilih pemimpin di kalangan mereka untuk menjadi ketua kepada masyarakat dalam komuniti rumah panjang. Sistem perundangan masyarakat pada ketika itu masih kurang jelas. Masyarakat pada ketika itu lebih menumpukan undang-undang adat yang mereka amalkan. Mereka menjadikan adat tersebut sebagai undang-undang rasmi mereka. [3]Adat merupakan sebuah undang-undang yang tidak bertulis dan prinsip-prinsip yang mana amat luas mengenai semua perkara dan hubungan dalam kedua-dua dunia fizikal dan alam ghaib. Ianya merangkumi kehidupan dan kematian, kejahatan dan kebaikan, kesucian dan duniawi.
          Namun pada zaman kesultanan Brunei, sultan Brunei telah memegang tampuk pentadbiran di Sarawak. [4]Sultan Brunei telah melantik para Gabenor setiap daerah di Sarawak dari kalangan Pengiran yang menjadi wakil sultan Brunei. Golongan Pengiran ini merupakan masyarakat yang mana negeri asal mereka adalah daripada Brunei. Golongan Sharif yang berketurunan campuran Melayu dan Arab pula dilantik menjadi sebagai pembesar. Kemudian di bawahnya pula dilantik Menteri Darat yang terdiri daripada kaum Iban. Tugas mereka adalah bertanggungjawab kepada peribumi pedalaman. Rakyat biasa adalah kelompok di bawah Menteri Darat. Mereka adalah kelompok yang paling besar dan merupakan penyokong kuat terhadap ketua masing-masing. Akhir sekali adalah golongan hamba abdi. Hamba abdi tersebut terdiri daripada tiga jenis iaitu hamba abdi yang menjadi pengikut kepada para pembesar, hamba jual beli dan orang suruhan. Hamba abdi yang menjadi pengikut para pembesar digelar “hamba abdi anak emas” kerana mereka mendapat layanan yang baik daripada para pembesar kerana mereka menjadi tulang belakang kepada tenaga buruh. Hamba jual beli pula adalah orang gaji. Manakala orang suruhan pula ialah rakyat biasa yang tidak dapat melangsaikan hutang dalam tempoh yang ditetapkan. Mereka adalah golongan yang paling rendah sekali dalam masyarakat di Sarawak.
·         Selepas Kedatangan Barat
          Semasa penguasaan SBBU di Sabah, keadaan politik masyarakat di Sabah berubah. Pada tahun 1881, sultan Brunei telah menyerahkan Sabah kepada Overbeck. Kemasukan orang Barat telah melahirkan beberapa institusi politik yang baru. [5]Pegawai SBBU telah mengelaskan masyarakat ini kepada dua iaitu masyarakat Melayu Muslim yang terdiri daripada kaum Bajau, Iranun, Suluk, Melayu, Bisayah, Kedayan, Tidong dan sebahagian kaum Dusun dan Murut yang telah menganut agama Islam. Masyarakat Pagan pula terdiri daripada kaum Dusun dan Murut serta subetnik yang tidak menganut agama Islam. Tujuannya adalah untuk memudahkan pegawai SBBU mengetahui masyarakat tersebut dengan mudah. Politik di Sabah pada abad ke-19 boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Orang-orang Barat dari London telah menguasai politik di bahagian yang teratas iaitu pemerintah yang lebih berkuasa daripada penduduk-penduduk tempatan. Politik di Sabah terdiri daripada Syarikat Berpiagam yang dianggotai oleh orang-orang Barat daripada London. Mereka telah membuat rayuan daripada ratu untuk mendapatkan piagam diraja. Syarikat ini kemudiannya ditukar menjadi Syarikat Borneo Utara British (SBUB). Namun, mereka terletak di bawah pemerhatian pihak British. [6]Syarikat Berpiagam membentuk pentadbirannya berasaskan ketetapan yang ditentukan oleh kerajaan British seperti yang termaktub dalam Piagam Diraja 1 November 1881. Gabenor pertamanya ialah William Hood Treacher telah dilantik sebagai Gabenor Borneo Utara pada tahun 1881 hingga 1887. Kemudian diikuti oleh gabenor-gabenor yang seterusnya iaitu W.M. Crocker (1887-1888) dan Charles Creagh (1888-1895). Sabah dibahagikan kepada empat Residensi iaitu Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan Pedalaman yang diketuai oleh Residen. Setiap Residensi dibahagikan kepada tujuh daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah (orang Eropah) dan dibantu oleh Ketua Anak Negeri.
          Bahagian kedua ialah di peringkat tempatan, kuasa pemerintahan hanyalah tertumpu di peringkat daerah dan kampung. Antara lembaga penting dalam pemerintahan di peringkat tempatan ialah Ketua Anak Negeri (pembesar), Orang Tua (ketua kampung) dan Mahkamah Anak Negeri. Ketua Anak Negeri akan bertugas dalam menjaga keamanan daerah mereka, memungut cukai dan menguruskan pentadbiran pengadilan (pembantu majistret). Undang-undang 1891 telah diluluskan bagi mengukuhkan jawatan Orang Tua iaitu mereka akan menerima komisen sebanyak sepuluh peratus bagi hasil cukai kepala. Manakala tugas Mahkamah Anak Negeri ialah membicarakan tentang hukum-hukum adat dan syariah. 
          Manakala, politik di Sarawak pula adalah bermula daripada pergolakan politik yang berlaku antara pemimpin tempatan. Pergolakan tersebut bermula apabila berlakunya perebutan kuasa antara pemimpin tempatan yang masing-masing ingin menjadi ketua terhadap masyarakat tempatan di Sarawak. Para pemimipin tempatan telah bertelagah sesama sendiri sehingga menyebabkan pihak luar seperti James Brooke dapat campur tangan dalam pentadbiran di Sarawak. Natijahnya, pentadbiran di Sarawak telah dikuasai oleh keluarga Brooke. Pemerintahan Brooke di Sarawak telah menukar corak politik di Sarawak pada pertengahan abad ke-19 hingga abad ke-20. Banyak pembaharuan yang telah dibuat oleh Brooke terhadap pentadbiran dan politik di Sarawak.
          Sarawak berada di bawah pemerintahan Raja Putih yang mengamalkan pemerintahan monarki. Dalam pemerintahan monarki, raja adalah berkuasa mutlak. Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan tradisional masih diteruskan. Raja Putih bekerja rapat dan mempunyai hubungan baik dengan pembesar tempatan. [7]James Brooke melantik pembesar tempatan menjadi penasihat kanan dalam pentadbirannya, contohnya Dato’ Patinggi, Dato’ Temenggung, Dato’ Bandar dan Dato’ Imam. James Brooke telah menubuhkan Majlis Tertinggi pada tahun 1855. Tujuan Majlis ini adalah untuk membuat semua dasar pentadbiran Sarawak. Ia dianggotai oleh pembesar tempatan yang terkemuka. [8]Pada tahun 1868, Charles Brooke telah menubuhkan Majlis Negeri. Majlis ini memberi peluang kepada pegawai dan pembesar dari kawasan baru untuk menyuarakan masalah mereka. Ahlinya terdiri daripada anggota Majlis Tertinggi, pegawai kanan Eropah dan Melayu serta ketua-ketua kaum Iban. Mesyuarat akan diadakan sekurang-kurangnya 3 tahun sekali. Majlis ini akan membincangkan perkara penting dan dasar kerajaan. Ia juga berhak membuat undang-undang, manasihati raja dan kerajaannya. Majlis ini mengadakan sidang pertamanya di Sibu pada tahun 1867.
          Pada tahun 1868, Sarawak telah dibahagikan kepada lima bahagian. Setiap bahagian ini diketuai oleh seorang Residen dan dibantu oleh seorang Penolong Residen yang berbangsa Eropah serta pegawai tempatan yang bergelar Pegawai Anak Negeri (dilantik dari kalangan pembesar). Pegawai Anak Negeri bertugas untuk menasihati Residen, mengutip cukai dan mengetuai ekspedisi tentera. Setiap bahagian juga mempunyai majlisnya yang sendiri yang dipengerusikan oleh Residen dan ketua-ketua peribumi serta pegawai Eropah. Di peringkat kampung, ketua penduduk mengekalkan peraturan, menyelesaikan pergaduhan dan memungut cukai. Ketua kampung akan memerhatikan mengenai pemeliharaan adat dan keselamatan di dalam kampung. Sekiranya ada sesuatu perkara yang menyebabkan kuasa ketua kampung terjejas, maka mereka akan membawakan hal tersebut di peringkat yang lebih berkuasa dari mereka untuk menanganinya.


[1]D.S. Ranjit Singh, The Making of Sabah 1865-1941, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 2000, hlmn. 46. 
[2]Ibid.
[3]Evelyne Hong, Natives of Sarawak (Survival in Borneo’s Vanishing Forest), Pulau Pinang: Sun Printers Sdn. Bhd, 1987, hlmn. 12. 
[4]Ibid.
[5]Dipetik dari: Nota Kuliah Pn. Sabihah Osman, Sejarah Sabah dan Sarawak, Universiti Malaysia Sabah.
[6]Mohd Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963), hlmn 258.
[7]Fong Hon Kah, Sejarah Perkembangan Lembangan Rajang di Sarawak, Sarawak: Jawatankuasa Warisan Kebudayaan Dewan Suarah, 1996, hlmn. 125.
[8]Ibid.